Friday, 13 March 2015

TAJUK 6: PENGURUSAN INOVASI DAN PERUBAHAN PENDIDIKAN

6.3 Pengenalan
Inovasi dan perubahan akan berlaku dari semasa ke semasa. Matlamat akhirnya adalah untuk menyumbang kepada perubahan organisasi, perkembangan dan pembangunan negara. Dalam konteks pendidikan, setiap unit atau individu dalam organisasi pendidikan harus bergerak dan sedia berubah dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan

Dalam topik ini, perbincangan akan memfokuskan pada aspek inovasi dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam pendidikan. Perubahan yang berlaku ini adalah untuk menyediakan modal insan yang berkualiti dan mampu bersaing pada peringkat global. Sebagai golongan pendidik, bagaimanakah anda sebagai guru harus mengadaptasikan perubahan yang berlaku ini ?



6.4 Kepentingan Inovasi dan Perubahan Pendidikan
Menurut Noriati (2010) inovasi diertikan sebagai suatu cara atau pendekatan terkini dalam melaksanakan sesuatu yang bermanfaat dalam kehidupan manusia. Matlamat inovasi menjadikan kehidupan manusia itu lebih baik yang mendorong ke arah peningkatan produktiviti. Manakala perubahan pula merujuk kepada masyarakat yang mengalami globalisasi perlu sentiasa melakukan perubahan dalam pendidikan sebagai suatu keperluan bagi memastikan amalan yang diguna pakai relevan dan diterima (Swenson, 1997 dalam Noriati).

Jika dilihat pada hari ini perkembangan yang berlaku dalam bidang Teknologi Maklumat adalah begitu pantas. Penggunaan komputer riba telah menjadi suatu keperluan, manakala desktop dianggap ketinggalan zaman. Konsep dunia tanpa sempadan telah menular dalam dunia pendidikan. Pelajar hari ini boleh mendapatkan pelbagai maklumat dan data dari perpustakaan maya. Jelaslah bahawa matlamat inovasi pada hari ini akan menghasilkan perubahan yang positif iaitu;



·                     Mampu melahirkan sebuah masyarakat dan negara kreatif.
·                     Menjadikan pengajaran lebih menarik kerana menggunakan bahan bantu mengajar yang pelbagai & kreatif
·                     Dapat mengembangkan bakat & potensi pelajar.
·                     Penyampaian nilai-nilai P&P dapat dijalankan dengan berkesan.
·                     Meningkatkan kualiti pendidikan dan dapat meningkatkan kecekapan tenaga pendidik.
·                     Menjana idea kreatif pelajar seterusnya dapat menarik minat pelajar untuk belajar




Sebagai penegasannya, kaji dan bincangkan ucapan yang dikemukakan di bawah.

“......adalah menjadi satu keperluan untuk kita melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan negara, menjadikannya relevan bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan semasa, malahan membina keupayaan (capacity building) untuk mendepani cabaran masa depan”.

(Ucapan YAB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien (2007),Menteri Pelajaran Malaysia)

6.5 Strategi Pengurusan Inovasi Dan Perubahan
Pengurusan perubahan membawa maksud sesuatu yang berubah daripada sedia ada kepada yang baharu. Anda pasti mendengar frasa “hari ini sepatutnya lebih baik daripada semalam”. Dalam merealisasikan sesuatu perubahan, kita sering mengharapkan perubahan itu berlaku berbanding berusaha keras untuk merealisasikannya. Kadang-kala dalam kalangan kita lebih suka mengekalkan status quo sahaja sedangkan dunia semakin berubah. Kita seharusnya menerima perubahan-perubahan ini dengan senang hati demi kecemerlangan.

Dalam bidang pendidikan khususnya, perubahan akan terus berlaku kerana bidang pendidikan itu adalah dinamik. Kurikulum sentiasa sahaja mengalami perubahan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Misalnya, amalan MS ISO 9000 yang suatu ketika dahulu hanya diamalkan dalam sektor korporat kini mula digunakan dalam organisasi pendidikan. Begitu juga dengan penggunaan ICT dalam pembelajaran dan pengisian markah secara online mula diperkenalkan di sekolah-sekolah. Kalau kita renung dari mula kita bersekolah hingga kini terlalu banyak perubahan yang berlaku.

6.5.1 Strategi Perubahan
Antara strategi perubahan yang berlaku dalam organisasi ialah:



·                     Strategi Kekuasaan

Pihak pentadbir akan menggunakan autoriti formal dan kawalan untuk memaksa ahli-ahli di bawahnya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. Misalnya, penguatkuasaan waktu masuk kerja dan balik. Pelbagai kaedah digunakan seperti kad perakam waktu atau cap jari (thumb print). Bagi memastikan peraturan ini diikuti, konsep ganjaran dan tindakan disiplin diamalkan.



·                     Strategi Pujukan

Dalam melaksanakan strategi ini, seorang ketua harus memiliki kemahiran interpersonal bagi menyakinkan kumpulan sasaran atau ahli-ahlinya. Setiap perubahan yang ingin dilakukan perlu dirancang dengan teliti dan dapat diterima oleh mereka. Misalnya, amalan penjimatan penggunaan kertas atau elektrik dalam organisasi. Memang tidak ada paksaan untuk melakukannya. Jadi, kejayaan dan pengamalan budaya ini bergantung kepada sejauh mana seorang ketua sebagai agen perubahan berjaya mempengaruhi orang bawahannya.



·                     Strategi Pendidikan Semula

Sebagai ketua, beliau harus mendorong kumpulannya melakukan refleksi atau berfikir sejenak tentang tindakan yang telah diambil dan sejauhmana tindakan tersebut menemukan kejayaan dan kegagalan. Sebagai contoh, kita ambil kes yang sama seperti di atas. Ahli kumpulan harus membuat refleksi tentang implikasi mengamalkan budaya penjimatan kertas atau elektrik kepada organisasi itu sendiri. Banyak baik atau buruk ?



·                     Strategi Memudah Cara

Dalam kes ini kumpulan sasaran akan menentukan rancangan yang dipilih oleh mereka dan agen perubahan akan menyediakan sumber-sumber yang diperlukan. Tindakan ini adalah untuk memastikan bahawa tiada sebarang halangan kepada kumpulan sasaran untuk meneruskan perubahan yang dirancang. Contohnya, guru di kelas Pendidikan Khas Masalah Penglihatan memilih untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer untuk kemahiran menulis; maka pihak sekolah hendaklah berusaha mendapatkan kemudahan tersebut.

6.6 Adaptasi Pelbagai Inovasi dan Perubahan Pendidikan
Seiring dengan perubahan masa pelbagai inovasi dan perubahan telah berlaku dalam sistem pendidikan di negara kita. Program yang dianggap sesuai pada masa dahulu, kini dilihat sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa. Dalam usaha membentuk rakyat yang mampu berdaya saing, maka dasar yang baru perlu diadaptasi dalam sistem pendidikan di negara kita. Amalan adaptasi itu merangkumi aspek-aspek berikut:

6.6.1 Latihan Perguruan
Pembentukan modal insan guru bergantung yang berkualiti bergantung kuat pada sistem latihan perguruan. Antara perubahan dalam latihan perguruan ialah menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru.

Perubahan dari Maktab Perguruan ke Institut Perguruan


·                     Pada tahun 2004 27 nama maktab perguruan dan 1 English Language Teaching Centre telah ditukar kepada Institut Pendidikan Guru selepas dinaik taraf.
·                     Pada tahun 2005 Jemaah Menteri telah meluluskan 27 Maktab Perguruan dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan ijazah Sarjana Muda Perguruan dan B.Ed. pada 13 Julai 2005
·                     Pada tahun 2006 pengisytiharan naik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru. Pengisytiharan ini membolehkan IPG melaksanakan Program Pensiswazahan Guru seperti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR), latihan praperkhidmatan kepada guru sekolah rendah melalui Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSM) seperti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan B.Ed TESL.
·                     Pada tahun 2009 Y.A.B Menteri Pelajaran, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein telah mengisytiharkan secara rasmi semua Institut Perguruan di Malaysia dikenali dengan nama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)

Dari aspek pengurusan berlaku pemisahan fungsi antara IPGM dengan BPG. IPGM akan memberi fokus kepada latihan praperkhidmatan manakala BPG akan menumpukan fokus kepada urusan latihan dalam perkhidmatan. IPGM juga diletakkan di bawah penyeliaan terus KPM manakala BPG kekal di bawah penyeliaan TKPPM (Profesional Keguruan).

Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Dengan Kepujian
Program ini dibuka kepada bakal-bakal guru ini terdiri yang daripada pelajar Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM). Pelajar ini dipilih oleh BPG berdasarkan beberapa temu duga dan ujian. Pelajar yang lulus peringkat persediaan sahaja akan ditawarkan untuk menyambung Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG.

PISMP adalah satu program latihan perguruan praperkhidmatan untuk melatih guru sekolah rendah yang berijazah di bawah sistem pendidikan kebangsaan. Program ini menawarkan 15 kursus di 27 buah IPGM. Program ini mula ditawarkan pada ambilan Jun 2005 kepada 2000 orang pelajar. Mereka dikehendaki mengikuti kursus persediaan selama tiga semester di IPG yang ditetapkan sebagai prasyarat untuk mengikuti program PISMP. Secara rasminya kohort pertama program PISMP ini bermula pada ambilan Januari 2007. Para pelajar akan dianugerahkan ijazah dengan kepujian setelah mengikuti pengajian sekurang-kurangnya 8 semester di IPGM

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan guru sekolah rendah yang berkualiti dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan ketrampilan profesionalisme dalam bidang masing-masing selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Sepanjang tempoh pengajian, pelajar-pelajar ini akan didedahkan dengan kurikulum yang akan membentuk insan guru yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:



·                     Bersifat dinamik, relevan, futuristik, responsif, holistik, dan bersepadu.
·                     Konsep “the personhood of teachers” dan pendekatan humanistik akan diberi fokus.
·                     Aplikasi teori untuk membina insan guru yang dapat menangani cabaran sebagai pendidik.
·                     Bersifat koheren antara pengajaran berkesan (effective learning) dan pengalaman klinikal (clinical experience).
·                     Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.


Kurikulum Pendidikan Guru yang digubal turut mengutamakan kemahiran insaniah dan pelbagai kemahiran yang lain. Perspektif global berkaitan dengan pendidikan juga diambil kira seperti Education For All (EFA), Education for International Understanding (EIU), Education for Sustainable Development (ESD), dan juga empat tonggak pendidikan UNESCO (Pillars of Education). Fokus hasil pembelajaran yang hendak dicapai sepanjang selama empat tahun pengajian adalah dari segi:



·                     Etika Profesional
·                     Pengetahuan dan Kefahaman
·                     Kemahiran Intelek
·                     Kemahiran Praktikal
·                     Kemahiran Kebolehpindahan
·                     Penghayatan dan Amalan Nilai


6.6.2 Program Pensiswazahan Guru

Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR)

Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Staf Kementerian Pelajaran bertarikh 5 Februari 2007 telah meluluskan program PGSR di IPG menggunakan mod Latihan Pensiswazahan Berasaskan Sekolah (LPBS) dengan syarat guru mengikuti pengajian di IPG pada hujung minggu atau cuti semester tanpa meninggalkan sekolah; mendapat gaji penuh; tidak dikenakan yuran pengajian dan dianugerahkan Sarjana Muda Pendidikan di akhir pengajian. Program PGSR merupakan satu saluran utama untuk guru bukan siswazah meningkatkan taraf pendidikan ke peringkat ijazah pertama. Ijazah yang diperoleh membolehkan mereka dilantik ke gerd DG 41.

Program Pensiswazahan Guru (PPG)
Pihak KPM bersama-sama dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah mencadangkan supaya semua guru yang layak akan disiswazahkan dalam tempoh RMKe-10 (2011-2015) melalui Program Pensiswazahan Guru (PPG). BPG telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi urus setia pada peringkat KPM bagi pelaksanaan program tersebut.

Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 16/2010 pada 29 September 2010 telah meluluskan Cadangan Pelaksanaan PPG di bawah RMKe-10. Sasaran KPM adalah untuk memastikan bahawa 60% guru sekolahrendah dan 90% guru sekolah menengah adalah terdiri daripada guru-guru siswazah menjelang tahun 2015. Semua PPLD yang berumur di bawah 47 layak memohon dan mengikuti PPG. Dianggarkan jumlah guru yang akan mengikuti program ini hampir 100,000 orang yang terdiri daripada 8,686 orang guru sekolah rendah dan 91,171 orang guru sekolah menengah.

PPG mendapat tajaan biasiswa dengan ikatan kontrak dan menggunakan mod pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Tempoh pengajian akan memakan masa antara tiga tahun setengah hingga empat tahun. Pelajar-pelajar program ini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) 40%, Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 40% dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 20%. Penganugerahan ijazah akan diberikan oleh institusi pengajian masing-masing.

6.6.3 Kurikulum Transformasi
Dalam bahagian perbincangan akan berfokus pada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang telah dilaksanakan pada tahun 2011. Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21.Secara ringkas bentuk KSSR ini dapat dirumuskan seperti berikut:



·                     Hasrat KSSR berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).
·                     Prinsip KSSR berasaskan prinsip KBSR iaitu pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan saksama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup.
·                     Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
·                     Memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M. Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M.
·                     Diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan tertentu yang dikenali sebagai Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif.
·                     Penambahbaikan Kurikulum Pendidikan Khas yang melibatkan tiga cabang utama iaitu Masalah Pembelajaran, Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran.
·                     Dalam memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR, elemen yang baharu telah ditambah iaitu Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan, serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
·                     KSSR digubal dalam bentuk pernyataan Standard. Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.
·                     Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan kepada sistem yang lebih holistik. Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
·                     Pentaksiran Sekolah
·                     Pentaksiran Pusat
·                     Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
·                     Pentaksiran Psikometrik


6.6.4 Sekolah Berprestasi Tinggi
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa. Rasional penubuhan SBT adalah untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik, menghasilkan murid cemerlang dan merapatkan jurang antara sekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Pemilihan sekolah untuk pengiktirafan SBT akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan SBT yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM). Proses pemilihan SBT akan melalui tiga proses saringan. Untuk memahami proses saringan itu, anda diminta merujuk laman web berikut: http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/1288585406.pdf. Selepas melepasi proses saringan, pihak kementerian telah menetapkan kriteria yang diambilkira dalam pengiktirafan SBT iaitu:



·                     Menunjukkan trend pencapaian akademik yang menaik bermula dengan Take Off Value (TOV) sekurang-kurangnya 80% dalam peperiksaan awam.
·                     Pencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen yang setaraf dengannya sekurang-kurangnya 90% dalam semua dimensi
·                     Menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
·                     Berjaya melahirkan personaliti-personaliti unggul (towering personalities) yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti.
·                     Menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah-sekolah lain dari dalam dan luar negara dengan menggunakan piawaian antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA).
·                     Wujud permuafakatan yang jitu antara sekolah dengan masyarakat.
·                     Mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah sama ada di dalam negeri atau pada peringkat antarabangsa.
·                     Membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi sama di dalam dan di luar negara dalam pemindahan kredit, kajian tindakan bersama, perkongsian kemudahan dan prasarana.


Ciri-Ciri Sekolah Berprestasi Tinggi


·                     Pemimpin Sekolah di SBT mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam pengurusan sekolah. Mereka mempunyai autonomi dalam membuat keputusan: memilih kurikulum dan kaedah pengajaran, proses pemilihan serta penempatan semula guru. Pihak pentadbir juga harus menyediakan perancangan strategik dalam menentukan hala tuju sekolah pada sesi tahun berkenaan.
·                     Guru Sekolah di SBT seharusnya boleh menyampaikan maklumat, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Penggunaan kaedah pengajaran yang berteraskan ICT dan hands-on. Mereka seharusnya membangunkan potensi yang pada murid-murid bukan sahaja pada peringkat sekolah atau negeri tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa.
·                     Murid di SBT harus mampu menyediakan sasaran tahunan bagi peningkatan diri sendiri. Mereka diberi kuasa autonomi untuk pembelajaran kendiri, mengendali dan menguruskan diri dan aktiviti sekolah.


6.6.5 Sekolah Bestari
Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran, pembelajaran, pengurusan sekolah untuk menyediakan pelajar bagi menghadapi ledakan zaman maklumat. Sekolah Bestari berkembang dengan pembentukan staf yang profesional, sumber yang bertambah dan pentadbiran yang cekap. Ini membolehkan sekolah menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah. Secara ringkasnya ciri-ciri di Sekolah Bestari ialah



·                     Proses pengajaran dan pembelajaran akan berpusatkan pelajar, kesinambungan dan reflektif. Kurikulum di Sekolah Bestari dirancang supaya bermakna, mempunyai tanggungjawab sosial, holistik, global dan terbuka. Amalan ini menggalakkan pembelajaran holistik, membenarkan kanak-kanak maju mengikut tahap pencapaian masing-masing dan mengambil kira keupayaan, minat dan keperluan pelajar yang berbeza-beza.
·                     Sistem penilaian fleksibel ini akan membenarkan pelajar dalam satu kelas fizikal untuk belajar pada aras yang berlainan dalam mata pelajaran yang sama. Pelajar akan dibenarkan terus ke aras yang lain dalam mata pelajaran yang berlainan pada bila-bila masa. Dengan cara ini, pelajar kurang cerdas, yang biasanya diabaikan akan diberi perhatian yang sewajarnya.
·                     Guru digalakkan untuk membina kemahiran sosial pelajar dan menerap moral dan etika yang baik serta nilai patriotisme. Penggunaan teknologi maklumat sebagai alat akan membolehkan penyimpanan data dan memudahkan pentadbir untuk mendapatkan semula data yang banyak.
·                     Pemantauan sistematik kemajuan pelajar akan mengingatkan sekolah tentang perlunya tindakan susulan bagi pelajar pintar dan yang kurang pintar. Penilaian berasaskan unsur dan rujukan kriteria tertentu untuk memberi gambaran holistik dan tepat tentang prestasi pelajar. Penilaian juga menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran konvensional dan elektronik yang sesuai dengan strategi pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai.


6.7 Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)

6.7.1 Latar belakang
Bagi memastikan kualiti pendidikan di institusi pendidikan meningkat secara berterusan pihak Jemaah Nazir Sekolah (JNS) telah memperkenalkan suatu mekanisme iaitu Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP). Selepas dua pelaksanaannya berlaku penambahbaikan pada STKP. Kini, STKP dikenali sebagai Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pelaksanaan standard ini memberi peruntukkan kepada Ketua Nazir Sekolah memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan (an adequate standard of teaching is developedand maintain in educational institutions).Pelaksanaan SKPM – Sekolah diperincikan dalam tiga dokumen iaitu:


·                     SKPM 1 : Pernyataan Standard (PS)
·                     SKPM 2 :Instrumen Pemastian Standard (IPS)
·                     SKPM 3 :Rancangan Pemajuan Sekolah


6.7.2 Prinsip-prinsip SKPM
SKPM–Sekolah diolah berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:


·                     Sekolah berupaya dibangunkan ke tahap yang tinggi secara terancang berasaskan potensinya.
·                     Sekolah bertanggungjawab memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
·                     Kepimpinan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan.
·                     Kemenjadian murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah adalah petunjuk utama kepada kejayaan sekolah menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi.
·                     Sekolah sebagai sebuah organisasi pendidikan ditadbir urus berdasarkan teori dan amalan pengurusan berkesan.
·                     Proses pendidikan di peringkat mikro hendaklah berteraskan teori pembelajaran, kaedah pembelajaran berkesan dan berpandukan pengalaman dan pandangan pakar dalam bidang pendidikan.
·                     Perancangan dan proses membuat keputusan program-program pendidikan berasaskan maklumat dan fakta yang tepat.
·                     Program-program yang dianjurkan oleh Jabatan dan Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pelajaran Bahagian dan Pejabat Pelajaran Daerah merupakan usaha-usaha yang selari dengan matlamat SKPM.
·                     Sekolah berupaya menggunakan segala input yang diperuntukkan mengikut tatacara dan prosedur yang ditentukan.


6.8 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM)
6.8.1 Latar belakang
Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Tujuan utama kajian semula ini dibuat dalam konteks standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21, dan peningkatan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara.

6.8.2 Objektif
Pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu:


1.             Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem.
2.             Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang.
3.             Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam.


6.8 3 Aspirasi Sistem Pendidikan


·                     Akses

100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang 2020.


·                     Kualiti

Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dan PISA dalam tempoh 15 tahun.


·                     Ekuiti

50% pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar - luar bandar, sosioekonomi, gender) menjelang 2020.


·                     Perpaduan

Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian


·                     Kecekapan


Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada.

6.8.4 Aspirasi terhadap Murid
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah berasaskan aspirasi alsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah menyediakan pendidikan seimbang untuk setiap murid. Pelaksanaan pelan ini adalah merujuk kepada sistem pendidikan yang berprestasi tinggi bagi membina kemahiran khusus dan atribut kepada murid sebagai persediaan menghadapi cabaran pembangunan ekonomi dan globalisasi.

PPPM ini telah menggariskan enam ciri-ciri utama yang menjadi asas aspirasi bagi setiap murid di negara ini.

Rajah 6.1 : Aspirasi murid


·                     Pengetahuan

Di peringkat paling asas, setiap kanak- kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi. Selain itu, penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu didedahkan kepada pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia, dan dunia dari aspek sejarah, manusia, dan geografi. Murid juga digalakkan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang lain seperti seni, muzik, dan sukan.



·                     Kemahiran Berfikir

Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif. Bidang ini kurang diberi perhatian, menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kritis di luar konteks akademik.



·                     Kemahiran Memimpin

Dalam dunia yang semakin saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah amat penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal untuk bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.



·                     Kemahiran Dwibahasa

Setiap kanak-kanak akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap minima. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.



·                     Etika dan Kerohanian

Sistem pendidikan akan memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.



·                     Identiti Nasional

Identiti nasional yang kukuh melalui penghayatan prinsip Rukun Negara, diperlukan untuk kejayaan dan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti nasional yang sebenar, semangat keterangkuman yang teguh amat diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian, tetapi juga menghayati kepelbagaian.

6.8.5 Sebelas Anjakan Utama Untuk Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara
Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Kualiti menjadi fokus utama merentasi semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting yang perlu diberikan perhatian segera. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan. Anjakan yang lain merupakan perubahan pelaksanaan dalam cara Kementerian dan sekolah melaksanakan dasar sedia ada. Sama ada perubahan bersifat strategi atau pelaksanaan, semuanya menggambarkan anjakan daripada amalan semasa. Sebelas anjakan tersebut adalah :



·                     Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidika berkualiti bertaraf antarabangsa.
·                     Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.
·                     Anjakan 3: Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.
·                     Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
·                     Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
·                     Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
·                     Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
·                     Anjakan 8: Mentransformasi kebolehandan keupayaan penyampaian Kementerian.
·                     Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas.
·                     Anjakan 10:Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
·                     Anjakan 11:Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

6.8.6 Urutan Anjakan Transformasi
Berdasarkan keperluan membina kebolehan dan keupayaan sistem pendidikan negara, Kementerian telah menyusun transformasi yang akan dilaksanakan dalam tiga gelombang; gelombang satu, gelombang dua dan gelombang tiga.

No comments:

Post a Comment