PENGENALAN
ISU
DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA
Malaysia adalah sebuah negara yang memberi banyak penekanan
kepada aspek pendidikan. Ini adalah kerana pendidikan adalah perlu bagi
sesebuah negara untuk membangun dan mencapai kemajuan dan kecemerlangan.
Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk memberi penekanan kepada pendidikan ini
melalui pembentukan beberapa dasar seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025. Namun begitu dalam melaksanakan dasar-dasar ini
kerajaan, sekolah dan guru telah menghadapi beberapa cabaran. Cabaran-cabaran
ini adalah disebabkan oleh kerana Malaysia ialah negara berbilang kaum dan juga
faktor perubahan yang begitu pantas di peringkat global.
Guru
sebagai pelaksana utama dalam bidang pendidikan berhadapan dengan pelbagai
cabaran dalam aspek Integrasi Nasional, pendemokrasian pendidikan, kepelbagaian
budaya, pengaruh TMK dan gejala sosial. Negara memerlukan guru yang komited,
berdedikasi dan mampu berhadapan dengan semua cabaran tersebut.
INTERGRASI NASIONAL
Menurut Vyas (1993), integrasi nasional bermaksud ”Satu
proses atau pun matlamat di mana semua penduduk dalam sesuatu wilayah tertentu
hidup bersama selama-lamanya dan saling menghormati tanpa mengira agama,
perbezaan etnik dan bahasa serta sudi berkongsi pengalaman, latar belakang,
sejarah dan nilai.”
Isu-Isu Semasa dalam Integrasi Nasional
Malaysia terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik termasuk
Melayu, Bumiputera, Cina dan India. Komposisi populasi sebegini telah
menyumbang kepada perbezaan dari segi bahasa, seni, kebudayaan, dan kepercayaan
dan agama yang mana merupakan cabaran yang besar bagi kerajaan untuk
menyatupadukan semua kumpulan etnik tersebut. Kejadian tragedi 13 May 1969
jelas menunjukkan wujudnya prasangka dan konflik tentang integrasi nasional di
negara kita. Perkara tersebut telah menyedarkan kerajaan tentang kepentingan
untuk mewujudkan integrasi nasional di negara kita. Demi mengurangkan jurang
sosio ekonomi antara kumpulan etnik yang berbeza dan mewujudkan hubungan yang
harmoni dan bersatu di kalangan rakyat, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai
polisi seperti Polisi Dasar Ekonomi Baru, Polisi Pendidikan Kebangsaan, dan
Polisi Kebudayaan Kebangsaan. Pelaksanaan polisi-polisi tersebut dapat meningkatkan
kefahaman Rukun Negara iaitu ideologi kebangsaan Malaysia. Rukun Negara
tersebut telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara (Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, 2005).
Cabaran-Cabaran dalam Integrasi Nasional
Dalam proses mengintegrasikan kumpulan etnik yang pelbagai
di negara kita, kerajaan mengalami berbagai-bagai halangan seperti berikut:
·
Perbezaan dalam agama dan budaya
·
Polisi pecah perintah British
·
Sistem pendidikan dan penggunaan bahasa pengantara yang
berbeza di sekolah
·
Penglibatan sektor ekonomi berasaskan kumpulan etnik
·
Penempatan geografi yang berbeza berdasarkan sumber
pendapatan kumpulan etnik
·
Parti politik berdasarkan kumpulan etnik
Cara-Cara Menangani
Isu-Isu Integrasi Nasional
Pendidikan
memainkan peranan yang penting dalam proses menyatukan semua kumpulan etnik di
negara kita. Pendidikan dapat membentuk modal insan yang berkembang secara
holistik dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani yang mana merupakan
matlamat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, banyak langkah telah
diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk melahirkan generasi masa hadapan yang
bersemangat patriotik, bertoleransi, progresif dan bersatu untuk menjadikan
Malaysia negara yang cemerlang. Langkah-langkah yang dimaksudkan adalah seperti
berikut:
Pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan kurikulum dan penilaian yang sama di semua sekolah.
·
Memperkasakan Sekolah Kebangsaan untuk memupuk semangat
bersatu dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza.
·
Mengasimilasikan nilai-nilai diri yang positif, nilai-nilai
moral dan seni dalam semua mata pelajaran.
·
Memperkenalkan mata pelajaran sivik dan kewarganegraan di
sekolah rendah dan sekolah menengah pada tahun 2003.
·
Memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan.
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Tiga jenis
sekolah, iaitu SK / SRK, SRJK (C) dan SRJK (T) yang terlibat dalam rancangan
ini. Objektif pelan ini adalah:
·
Meningkatkan penyertaan pelajar dan guru dari
ketiga-tiga jenis sekolah berkenaan dalam aktiviti-aktiviti khas.
·
Menambahkan interaksi, persefahaman, kerjasama,
muhibah dan toleransi pelajar daripada tiga jenis sekolah
·
Penggunaan kemudahan dan peralatan tiga jenis
sekolah bersama-sama secara maksimum.
Integrasi nasional boleh dicapai berdasarkan kepada
aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam modul yang merangkumi aspek-aspek yang
disenaraikan di bawah:
·
Modul Aktiviti untuk kecemerlangan akademik
·
Modul Aktiviti untuk sukan dan permainan
·
Modul Aktiviti untuk ko-kurikulum
·
Modul Aktiviti untuk perkhidmatan sosial
·
Modul Aktiviti untuk meningkatkan semangat patriotik
Konsep 1 Malaysia
Konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri
Malaysia, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak. Ini adalah salah satu langkah yang
paling penting yang diambil oleh Perdana Menteri untuk memupuk perpaduan negara
dan untuk membina hubungan yang rapat antara semua kumpulan etnik di Malaysia
termasuk Sarawak dan Sabah. Menurut Laman web peribadi Perdana Menteri, 1
Malaysia adalah formula yang dikonsepsikan sebagai satu pra-syarat bagi
memastikan aspirasi negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020
tercapai sekiranya konsep 1 Malaysia ini diterapkan dalam minda rakyat dan
diamalkan oleh seluruh masyarakat. Jika idea "Bangsa Malaysia" yang
ditimbulkan melalui Wawasan 2020 menjadi destinasi akhir, maka 1 Malaysia
adalah hala tuju yang membimbing kita ke arah destinasi itu.
Terdapat lapan nilai murni yang diketengahkan dalam konsep 1
Malaysia, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan,kesetiaan,
meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai penerimaan, kesetiaan,
meritokrasi, pendidikan dan integriti adalah faktor yang paling penting dalam
pembangunan integrasi nasional. Penerimaan bermakna rakyat negara ini mesti
dapat menerima kekuatan kumpulan etnik yang lain dan mampu untuk bersetuju
dengan semua perkara untuk kebaikan negara ini. Kesetiaan adalah penting kerana
semua rakyat Malaysia perlu taat setia kepada raja dan negara selain daripada
membina amanah untuk meningkatkan hubungan antara kumpulan etnik yang berbeza.
Meritokrasi merupakan satu elemen penting bagi sebuah negara demokratik di mana
semua orang di negara ini layak diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam
mana-mana bidang. Pendidikan akan memastikan nilai-nilai murni terpupuk di
kalangan generasi masa depan di samping menjadikan mereka modal insan kelas
pertama di negara ini. Lapan nilai tersebut berfungsi sebagai tunggak dalam
mengintegrasi dan menyatukan semua rakyat Malaysia untuk mencapai wawasan 2020.
PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN
Pendemokrasian pendidikan merujuk kepada kesamarataan
peluang untuk semua orang yang mana melibatkan peruntukan kewangan dan
bahan-bahan sumber yang besar, melibatkan pembangunan dasar yang direka untuk
mengurangkan ketidaksamaan dari segi sosial dan ekonomi, di samping
mengurangkan kos persekolahan seperti yuran dan kos bahan, melibatkan
pembangunan kurikulum yang berkaitan dan kerja-kerja merangka prosedur
pemilihan yang sesuai untuk peluang-peluang pendidikan di peringkat yang lebih
tinggi (Kiyau, 1981). Menurut Dewey (1966) pendemokrasian pendidikan bermakna
peluang yang disediakan untuk semua orang untuk berjaya dalam pendidikan dan
menggunakan pendidikan sebagai alat utama untuk berjaya dalam hidup dan
menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Isu-Isu Semasa dalam Pendemokrasian Pendidikan
Banyak langkah dan dasar telah dibuat oleh Kementerian
Pelajaran untuk memastikan bahawa semua orang di negara ini mempunyai peluang
pendidikan yang berkualiti secara percuma. Pada masa yang sama, kerajaan juga
perlu memastikan bahawa pelajar-pelajar yang kurang upaya juga diajar
berdasarkan sistem dan kurikulum yang sama dengan pelajar-pelajar normal. Usaha
kerajaan untuk mencapai matlamat pendemokrasian pendidikan yang dinyatakan di
dalam dasar pendidikan adalah seperti: pendidikan wajib dan percuma untuk
sekolah rendah dan sekolah menengah, pelaksanaan sekolah-sekolah vernakular
(SJK Cina dan SJK Tamil), sekolah teknik, sekolah berasrama, sekolah agama dan
sekolah pendidikan khas. Sekolah kurang murid (SKM) adalah untuk memenuhi
keperluan pelajar-pelajar dari kawasan-kawasan terpencil. Dalam usaha untuk
menyediakan peluang kepada orang ramai untuk meneruskan pengajian mereka ke
peringkat pengajian tinggi, kerajaan telah mewujudkan pendidikan atas talian,
kolej-kolej dan universiti swasta. Selain itu, pelbagai program seperti Skim
Bantuan Pendidikan, Skim Pinjaman Buku Teks dan Pelan Makanan Tambahan telah
dilaksanakan untuk membantu pelajar daripada golongan berpendapatan rendah
supaya mereka terus kekal dalam sistem pendidikan dan sentiasa sihat.
Cabaran-Cabaran dalam Pendemokrasian Pendidikan
Pelbagai cabaran telah dihadapi oleh kerajaan dalam
melaksanakan pendemokrasian pendidikan. Kerajaan perlu memastikan bahawa
pendidikan berkualiti diberikan kepada pelajar-pelajar tanpa mengira latar
belakang etnik, status sosio-ekonomi, lokasi dan ekuiti. Pelajar-pelajar dari
sekolah luar bandar harus mempunyai hak untuk menggunakan kemudahan dan
infrastruktur yang sama seperti di sekolah-sekolah bandar. Pelajar-pelajar dari
sekolah-sekolah luar bandar juga perlu diajar oleh guru-guru terlatih dan
berkualiti bagi memudahkan mereka untuk pencapaian akademik yang cemerlang.
Peranan Guru dalam Pendemokrasian Pendidikan
Guru memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat pendemokrasian
pendidikan dengan memastikan peluang yang sama diberikan kepada semua pelajar
tanpa mengira etnik, jantina, status sosioekonomi, latar belakang budaya,
agama, dan kecerdasan supaya mereka dapat memperkembangkan potensi mereka
secara maksimum dan mencapai kecemerlangan dalam akademik. Pada masa yang sama,
guru-guru perlu adil dan saksama dalam semua aspek apabila berinteraksi dengan
pelajar-pelajar daripada pelbagai kumpulan etnik.
TONGGAK PENDIDIKAN UNESCO
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO)
adalah salah satu agensi Bangsa-Bangsa Bersatu yang memainkan peranan untuk
membawa keamanan, keselamatan dan keharmonian kepada dunia dengan menggalakkan
kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan. Empat tonggak pendidikan
seperti yang dinyatakan oleh UNESCO yang perlu dikuasai oleh pelajar-pelajar
ialah:
·
belajar untuk mengetahui
·
belajar untuk melakukan
·
belajar untuk menjadi apa
·
belajar untuk hidup bersama
Belajar Untuk Mengetahui
Belajar untuk mengetahui adalah salah satu alat yang penting
dalam proses pembelajaran. Ia adalah satu alat kognitif di mana seseorang mesti
memperoleh untuk memahami kerumitan persekitaran dan seterusnya memaksimumkan
potensi kecemerlangan. Belajar untuk mengetahui juga sebagai keperluan asas
yang dapat memudahkan pembelajaran pada masa depan. Seseorang juga mesti
mengetahui orang di sekelilingnya melalui komunikasi dan interaksi yang mana
akan membantu seseorang itu mencapai kejayaan dalam hidupnya. Belajar untuk
mengetahui melibatkan proses pembelajaran untuk memperkembangan daya tumpuan,
kemahiran mengingat dan keupayaan untuk berfikir. Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, guru perlu merancang satu proses pembelajaran yang menyeronokkan,
memupuk minat dan rasa ingin tahu pelajar untuk mencetuskan keinginan mereka
untuk mendapatkan pengetahuan baru yang lebih mendalam. Selain itu, guru juga
perlu memperkenalkan kemahiran-kemahiran untuk membantu pelajar memperoleh
pengetahuan yang baru.
Belajar Untuk Melakukan
Belajar untuk melakukan bermaksud pendidikan mesti dapat
melengkapkan seseorang dengan kemahiran yang penting yang mana akan membolehkan
seseorang itu terus hidup dan mengambil bahagian dalam dunia global secara
berkesan. Potensi seseorang akan digilap dalam proses pembelajaran sehingga
seseorang dapat melakukannya perubahan kepada persekitarannya pada masa
hadapan. Dalam erti kata lain, seseorang itu mampu untuk mencipta inovasi
berdasarkan pengetahuan yang telah diperolehinya. Kompetensi personal dan
profesional seperti kemahiran interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kerja
berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah adalah faktor-faktor penting
dalam menentukan Belajar Untuk Melakukan berhasil. Peranan pendidikan dalam
Belajar Untuk Melakukan adalah untuk meningkatkan inisiatif individu dalam
penyertaan pembangunan masa depan mereka yang berasaskan pengetahuan teoritikal
dan praktikal. Peranan sekolah dan guru-guru adalah untuk memastikan pelajar
dapat menguasai dengan baik kompetensi personal dan melakukan yang terbaik.
Belajar Untuk Menjadi Apa
Belajar Untuk Menjadi Apa menekankan bahawa pendidikan
seharusnya mampu untuk membangunkan seseorang secara holistik dari segi
fizikal, intelek, rohani, emosi dan estetik seperti yang dinyatakan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan mesti menyediakan peluang untuk
seseorang membangunkan potensi sepenuhnya supaya dia boleh berfikir dan menilai
secara kritis dan bebas, dapat membuat keputusan yang terbaik, mengambil
tindakan yang paling sesuai dalam kehidupan mereka dan seterusnya
bertanggungjawab ke atas tindakan yang telah diambil. Tugas penting pendidikan
adalah untuk memastikan bahawa semua orang menikmati kebebasan untuk berfikir,
membuat pertimbangan yang wajar, kebebasan merasa dan membuat imaginasi untuk
membangunkan bakat mereka dan seterusnya menentukan cara hidup mereka. Cabaran
yang dihadapi oleh guru adalah untuk memastikan bahawa semua pelajar sentiasa
dilengkapi dengan sumber-sumber personal dan alat intelektual yang diperlukan
untuk memahami dunia dan bertindak sebagai seorang manusia yang
bertanggungjawab dan adil. Keadaan begini boleh ditingkatkan melalui kerja
berkumpulan, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan
projek.
Belajar Untuk Hidup Bersama
Belajar untuk hidup bersama adalah satu lagi tonggak penting
erana tiada siapa yang boleh hidup bersendirian di dunia ini. Pendidikan perlu
menyedarkan individu tentang kepentingan kedamaian di dunia. Individu mesti
diberi pendedahan tentang nilai-nilai hak asasi manusia, prinsip-prinsip
demokrasi, memahami dan menghormati kepelbagaian sosio budaya, toleransi dan
memupuk keamanan dalam masyarakat dan menjalin hubungan sesama manusia tanpa
mengira perbezaan latar belakang supaya semua manusia sentiasa hidup dalam
keadaan aman dan harmoni. Sekolah dan guru-guru perlu mengajar dan menggalakkan
para pelajar untuk mengelakkan konflik dan menyelesaikan masalah dengan cara
yang aman. Dua elemen yang perlu diajar kepada pelajar-pelajar di dalam proses
Belajar Untuk Hidup adalah untuk memahami perbezaan individu dan bekerjasama
dengan orang lain ke arah matlamat yang sama.
Cabaran kepada guru
Dalam proses mencapai matlamat empat tonggak pendidikan
seperti mana yang digariskan dalam UNESCO, sekolah dan guru-guru menghadapi
cabaran yang besar kerana mereka perlu memastikan bahawa proses pendidikan
dapat memberikan peluang kepada individu untuk meneroka, bergaul dan
berinteraksi dengan orang-orang dari latar belakang yang berbeza sejak
peringkat awal lagi. Individu mesti sedar, memahami dan menghormati perbezaan
jantina, etnik, status sosio-ekonomi, intelektual, kepercayaan dan agama.
Cara guru menangani cabaran
Guru-guru perlu menekankan kepentingan toleransi dan
bekerjasama dengan orang lain demi mencapai keamanan dan keharmonian dalam
kehidupan setiap hari. Di samping itu, pendidikan juga harus membangunkan
individu secara holistik yang mempunyai kemahiran dan kecekapan yang
membolehkan individu terus hidup di dunia global yang penuh dengan cabaran.
GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN
Globalisasi merujuk kepada proses yang membolehkan pasaran kewangan dan pelaburan untuk beroperasi di peringkat antarabangsa, sebahagian besarnya adalah hasil daripada pembatalan kawal selia dan peningkatan komunikasi secara berkesan (Collin kamus, 2013). Menurut Financial Time Lexicon (2013), globalisasi menerangkan proses di mana ekonomi serantau dan negara, masyarakat dan budaya telah menjadi bersepadu melalui rangkaian perdagangan global, komunikasi, imigresen dan pengangkutan.
Globalisasi juga menyediakan platform untuk semua orang tanpa mengira bangsa, kaum, warna kulit, status dan latar belakang untuk bersaing secara adil dalam mana-mana bidang. Globalisasi telah membawa kedua-dua kesan positif dan negatif dalam banyak aspek kehidupan kita terutamanya pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah salah satu bidang yang banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat di seluruh dunia.
Isu-Isu Semasa dalam Globalisasi Pendidikan
Impak globalisasi terhadap sektor pendidikan adalah seperti berikut:
·
Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa
antarabangsa.
·
Pendidikan di negara ini terbuka kepada dunia luar di mana
universiti-universiti asing dibenarkan untuk menubuhkan cawangan mereka di
sini.
·
Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi akan
meningkat apabila banyak kolej swasta dan universiti telah ditubuhkan.
·
Penekanan dalam penilaian dan penggunaan teknologi
komunikasi maklumat (TMK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
·
Internet sebagai sumber maklumat dan komunikasi.
·
Peranan guru-guru di dalam kelas lebih kepada pemudah cara.
·
Guru perlu celik ICT dalam menjalankan kerja-kerja
pentadbiran.
·
Pelajar-pelajar kita mampu bersaing dalam pasaran buruh
global.
·
Persaingan yang adil di kalangan institusi pengajian tinggi.
·
Pembelajaran sepanjang hayat boleh dicapai dengan peluang
pembelajaran yang disediakan.
·
Perkongsian pengetahuan terutamanya penemuan baru hasil
kajian yang dilakukan di seluruh dunia.
·
Membolehkan pencapaian matlamat pendemokrasian pendidikan
apabila setiap orang diberi peluang pendidikan.
Cara-cara Menangani Globalisasi dalam Pendidikan
Kesan globalisasi kepada pendidikan telah mencabar proses
pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia kerana kita perlu menyesuaikan diri
dan mengikuti trend di seluruh dunia supaya dapat bersaing di peringkat
antarabangsa. Cabaran-cabaran yang dihadapi adalah seperti berikut:
·
Keperluan untuk mengamalkan pembelajaran berterusan
·
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
·
Pentadbiran pendidikan
·
Pembangunan identiti pelajar
·
Kualiti Guru
·
Keperluan untuk mengubah kurikulum selaras dengan peluang
globalisasi
·
Guru-guru tidak bersedia dengan perubahan terutamanya dalam
aspek penggunaan ICT dalam proses pengajaran
·
Peningkatan dalam beban kerja
·
Sikap guru dalam pengajaran di zaman global
·
Perubahan yang pesat dalam pendidikan akibat globalisasi
·
Pengaruh negatif kepada identiti pelajar
·
Budaya sekolah tidak menyokong peluang pembelajaran cara
global
Cara-Cara Menangani Globalisasi dalam Pendidikan
Sekolah dan guru-guru bertanggungjawab dalam menghasilkan
pelajar-pelajar yang mampu untuk bersaing dalam era globalisasi ini. Pelajar
perlu mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran yang
berterusan bagi membolehkan mereka terus berada dalam perubahan yang pesat ini.
Guru-guru perlu melengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk berkomunikasi
secara lisan dan dalam bentuk bertulis dengan menggunakan bahasa antarabangsa
seperti Bahasa Inggeris supaya mereka dapat berinteraksi dan berkomunikasi di
peringkat antarabangsa. Untuk melibatkan diri secara global, pelajar perlu
menguasai kemahiran TMK kerana TMK adalah satu bidang yang pesat berubah.
Sekolah dan guru-guru perlu memastikan bahawa kurikulum masa kini membolehkan
pelajar menguasai kemahiran kognitif yang berguna dalam menyelesaikan
tugas-tugas yang kompleks dan mencabar, di samping menyelesaikan masalah serta
menjana pengetahuan baru untuk inovasi. Selain itu, adalah menjadi
tanggungjawab guru untuk menekankan aspek etika dan moral serta menyedari kesan
negatif penggunakan ICT dalam zaman globalisasi ini.
KEPELBAGAIAN BUDAYA
Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, ataupun masyarakat majmuk, yang terdiridaripada bangsa utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian Budaya pula merujuk kepada kepelbagaian adat dan budaya dalam sesebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum. Stavenhagen (1986) berpendapat kepelbagaian budaya merupakan rangkuman dari pelbagai aspek yang meliputi budaya, etnik, agama, amalan tradisi yang mengarah kepada kecenderungan dan memberi kefahaman di antara sesama kaum.
Kepelbagaian Budaya menurut Kymlicka (1999) pula adalah merujuk kepada kepelbagaian yang wujud dalam sesebuah masyarakat yang memberi tumpuan kepada tiga perspektif seperti berikut:
·
Perspektif Universal (memahami fenomena perubahan setiap
masyarakat secara universal)
·
Perspektif Etnik (mengkaji permasalahan dan konflik setiap
etnik)
·
Perspektif Budaya (mengkaji cara bagaimana setiap etnik
mengekspresikan budaya mereka).
Isu Pendidikan Semasa
Fenomena kepelbagaian budaya dalam situasi di sekolah negara kita telah membawa pelbagai implikasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, khasnya kepada pelajar.
Implikasi Kepelbagaian Budaya Kepada Pelajar :
Positif
Fenomena kepelbagaian budaya dalam situasi di sekolah negara kita telah membawa pelbagai implikasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, khasnya kepada pelajar.
Implikasi Kepelbagaian Budaya Kepada Pelajar :
Positif
·
Berpeluang mempelajari kepelbagaian budaya
·
Membentuk interaksi sosial yang baik
·
Memperkembangkan bakat
Negatif
·
Mempunyai masalah dalam kerja kumpulan
·
Masalah komunikasi dan bahasa
·
Sukar mewujudkan persefahaman
·
Wujud perasaan rendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri
Cabaran Kepada Guru
Dalam hal ini, guru mesti memiliki rasa kesungguhan dan penghayatan yang mendalam ketika melaksanakan upacara/program untuk menangani isu kepelbagaian budaya yang dianjurkan oleh pihak kementerian pelajaran/sekolah sehingga boleh menjadi role model kepada para murid di sekolah.
Antara cabaran kepada guru dalam menangani isu kepelbagaian budaya di sekolah ialah meningkatkan kesedaran pelajar. Kesedaran yang hendak diterapkan dalam pemikiran pelajar berbilang kaum di Malaysia ialah bagaimana :
i. menerima dan menghargai identiti setiap kaum.
ii. menghormati perbezaan budaya yang wujud (nilai, adat resam dan cara hidup).
iii. menghargai keunikan budaya.
iv. mempunyai kemahuan untuk berkongsi persamaan, sedia bekerjasama.
v. bersekutu memajukan bangsa.
Cara Menangani Isu Kepelbagaian Budaya
Jika membincangkan kepelbagaian budaya adalah sangat penting mengaitkannya dengan Integrasi nasional. Justeru pemahaman integrasi nasional merupakan inti pati kepada keperluan perpaduan negara. Integrasi Nasional dalam merujuk kepada Husein Ahmad (2000) dan Zakaria Abd Wahab (2000) yang merujuk makna integrasi nasional sebagai sesebuah masyarakat yang bersatu padu yang bercirikan persefahaman budaya, interaksi sosial, boleh bertoleransi antara kaum, memahami serta mengiktiraf persamaan dan perbezaan antara kaum. Ciri-ciri ini adalah merupakan satu asas bagi menentukan wujudnya integrasi nasional bagi membentuk identiti bangsa Malaysia.
Antara cara-cara yang boleh dilaksanakan oleh guru untuk mengatasi masalah kepelbagaian budaya adalah seperti berikut :
·
Guru hendaklah mengambil daya usaha untuk
menunjukkan kemesraan
·
Guru hendaklah bersedia melayani murid-murid mengikut
kebolehan dan sifat mereka yang berlainan.
·
Memberi pendedahan murid-murid terhadap kepelbagaian sosio
budaya
·
Mempelbagaikan kaedah pengajaran
·
Menggalakkan aktiviti yang melibatkan penglibatan semua
murid
·
Menghormati dan memahami keadaan sosial murid-murid
·
Guru hendaklah mengadakan suasana demokratik dalam kelas
Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak
mempengaruhi budaya kehidupan masa kini, khususnya dalam
bidang
pendidikan. Pengaplikasian teknologi ini dalam pengajaran
dan
pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik
pedagogi guru.
Penggunaan teknologi telah dapat merevolusikan teknik
pengajaran guru, kaedah murid belajar dan secara keseluruhannya cara pendidikan
dikendalikan sesuai dengan era masa kini.
Isu Pendidikan Semasa
Andaian umum yang menyatakan bahawa sekiranya perkakasan dan
perisian telah tersedia di sekolah, pengintegrasian teknologi maklumat akan
berlaku secara automatik adalah kurang tepat kerana salah satu penentu utama
kejayaan atau kegagalan pengintegrasiannya adalah guru. Sejauh manakah guru
masa kini dapat menerima cabaran untuk mengaplikasikan teknologi maklumat dalam
pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan?
Pengaruh TMK melalui internet juga telah memberi pendedahan
kepada pelajar tentang pemerolehan sumber maklumat alternatif seperti
perpustakaan maya selain buku teks atau mengunjungi perpustakaan. Jika pelajar
dididik untuk menggunakan internet secara berkesan, para guru berupaya
melahirkan satu genarasi yang dinamik dan progresif kerana dilengkapi dengan
ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini.
Cabaran Kepada Guru
Cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengintegrasikan
teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran ini boleh dilihat daripada
kesediaan guru yang meliputi tiga aspek iaitu tahap kemahiran, pengetahuan dan
sikap.
Kemahiran
Teknologi Maklumat Guru
Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal
insan yang berkualiti, guru merupakan agen perubahan yang penting. Oleh itu,
penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan guru adalah dituntut. Ia penting
bukan sahaja untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran
malah daripada aspek pentadbiran dan pengurusan sekolah. Oleh itu,
langkah-langkah seperti bengkel dan kursus berkaitan teknologi maklumat giat
dijalankan untuk memantapkan guru-guru khususnya dalam aspek berkaitan teknologi
maklumat. Guru mesti bersedia untuk memikul cabaran ini.
Sikap
Guru Terhadap Teknologi Maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Sikap adalah sesuatu gambaran dalaman individu yang merujuk
kepada kecenderungan untuk berkelakuan positif atau negatif terhadap benda,
situasi, institusi, konsep atau individu lain. Beberapa tinjauan literatur
lepas telah menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang rapat antara sikap
dengan penggunaan teknologi maklumat dengan pengajaran dalam bilik darjah
(Mohamad Nabzrim & Mohamad Nayan, 1997; Adenan, 1999; Krishnan et al.,
2007). Oleh itu, guru-guru khasnya mereka yang telah berada dalam zon selesa
perlu mengubah sikap terhadap perkembangan TMK supaya lebih kerap menggunakan
TMK dalam bilik darjah.
Perisian
Penyampaian Teknologi Maklumat
Perisian penyampaian teknologi maklumat adalah dianggap
sebagai satu alat yang dapat membantu guru-guru dalam pengajaran dan
pembelajaran serta tugas lain. Menurut Chao et al. (2003), seseorang guru yang
kompeten sekurang-kurangnya menguasai kemahiran asas menggunakan komputer,
berkemahiran menggunakan perisian pemproses kata, perisian pangkalan data,
perisian hamparan elektronik, perisian berkaitan statistik, grafik, menggunakan
teknologi Internet, laman web serta pengetahuan bagaimana komputer berfungsi.
Tetapi sejauh manakah guru-guru dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas
tersebut?
Mendidik
Pelajar Menggunakan Internet Secara Berkesan
Selain cabaran dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap
guru, guru juga menghadapi cabaran bagaimana hendak mendidik generasi muda
menggunakan internet secara berkesan. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk
memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada pengaruh negatif internet.
Kesimpulannya, selain kemahiran alatan produktiviti iaitu
pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, persembahan, pangkalan data dan
Internet, tumpuan kursus dan latihan perlu ke arah kemahiran lain seperti
kemahiran mencari dan memilih maklumat daripada Internet, pembinaan laman web
dan juga mengarang perisian kursus pendidikan yang sesuai dengan pengajaran
subjek.
Akhir sekali, yang lebih penting adalah kebolehan untuk
menyebatikan kemahiran-kemahiran tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran.
Ini kerana matlamat kita adalah untuk menggunakan teknologi komputer dalam
pendidikan secara am dan dalam pengajaran dan pembelajaran secara khusus. Namun
begitu, harus diingat bahawa teknologi hanya merupakan alat bantu dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, ia tidak akan dapat menggantikan kedudukan guru
dalam erti kata yang luas. Pendidikan hari ini adalah untuk kecemerlangan masa
hadapan.
Cara Menangani Isu Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi
Usaha Kementerian Pelajaran tidak akan berjaya jika para
guru tidak dibudayakan sepenuhnya akan penggunaan komputer dan TMK. Pengalaman
di negara maju menunjukkan lima keperluan perlu ada jika Kementerian Pelajaran
ingin meningkatkan pendedahan dan penerimaan guru kepada teknologi maklumat dan
komunikasi. Keperluan itu ialah:
·
sikap guru dan pelajar mestilah positif dan bersedia untuk
berubah.
·
prasarana komputer dan rangkaian komunikasi mestilah lengkap
dan mencukupi.
·
tenaga yang terlibat untuk memperkenal dan memperluaskan
teknologi maklumat mestilah mahir.
·
peruntukan wang mestilah mencukupi untuk menggerakkan perkembangan
TMK.
·
hubungan interpersonal yang kuat antara guru dan pelajar.
GEJALA SOSIAL
Gejala sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan
budaya yang melanda golongan remaja dan belia. Pada zaman remaja, seseorang itu
berdepan dengan satu siri krisis identiti iaitu pembentukan dan pengembangan
identiti diri. Kegagalan untuk mengatasi cabaran itu
membuatkan remaja mengalami krisis kekeliruan. Krisis
kekeliruan yang menguasai diri remaja jika tidak dibendung dan di atasi boleh
menyebabkan gejala sosial. Fenomena ini merupakan salah satu daripada ancaman
kepada sumber tenaga manusia yang boleh merugikan negara dalam jangka masa
panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus
dibendung dan diatasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap
pembangunan dan kemajuan negara.
Gejala sosial adalah sesuatu yang merangkumi pelbagai
tingkah laku negatif di dalam anggota masyarakat yang tidak memberikan faedah
kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu
masyarakat, komuniti ataupun negara. Banyak faktor yang mendorong remaja pada masa
kini terlibat dalam gejala sosial yang kurang sihat ini. Menurut Abd. Rahim
(2006), penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial berpunca daripada
beberapa faktor; antaranya ialah faktor dalaman diri remaja itu sendiri iaitu
dari aspek perkembangan personaliti, kegagalan fungsi institusi keluarga dan
juga pengaruh rakan sebaya. Zainal dan Sharani (2004) pula menyatakan pengaruh
persekitaran di sekolah juga menjadi punca keruntuhan akhlak di kalangan
remaja.
Isu Pendidikan Semasa
Pada masa kini, tingkah laku golongan pelajar dan remaja
khususnya semakin mencabar dengan pelbagai masalah. Keruntuhan moral dalam
kalangan pelajar sekolah digambarkan menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan
luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana, penagihan dadah, pembakaran
sekolah dan sebagainya semakin meningkat. Kadar penglibatan remaja dalam
masalah sosial yang semakin serius ini semuanya berpunca dari beberapa faktor
dalaman dan luaran, antaranya ialah:
·
Faktor Ekologi Keluarga
·
Faktor Ekologi Sekolah
·
Rakan Sebaya
·
Media massa/Internet
·
Modenisasi.
Gejala sosial bukanlah suatu penyakit yang biasa, tetapi ia
sudah menjadi kudis yang semakin bernanah dalam masyarakat. Jika tidak
ditangani dengan segera, gejala sosial ini akan menjadi semakin sukar untuk
diubati. Semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengatasi gejala sosial ini.
Guru khusunya memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan
anak-anak muda supaya menjadi remaja dan belia yang menyumbang kepada kemajuan
negara.
Cabaran Kepada Guru
Sejauh manakah para guru bersedia menghadapi cabaran gejala
sosial di kalangan anak murid mereka? Para guru berperanan mengawal pelajar
mereka daripada melakukan gejala sosial. Secara dekat para guru perlu
mendampingi setiap pelajar dan memahami permasalahan mereka. Para guru harus
peka dan bersikap terbuka serta sentiasa memberikan dorongan kepada pelajar
mereka dan ini akan membuka ruang bagi para pelajar untuk membincangkan dan
berkongsi masalah yang dihadapi oleh mereka. Di samping itu, disiplin sekolah
perlu diketatkan. Hubungan erat antara para guru dengan ibu bapa pelajar perlu
ditingkatkan. Pihak sekolah juga boleh memberikan kaunseling kepada pelajar
yang bermasalah agar pelajar tersebut tidak berasa dirinya dipinggirkan. Semua
usaha yang disebutkan di atas bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan
tetapi memerlukan kasih sayang dan kesabaran yang amat tinggi daripada insan
yang digelar guru.
Cara Menangani Isu Gejala Sosial
Dengan itu, cara-cara untuk menangani gejala sosial dapat
dirumuskan seperti berikut:
Peranan Ibu Bapa
·
mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan cara yang
betul
·
meluangkan lebih masa bersama anak-anak mereka
·
mengamalkan nilai-nilai agama
Peranan Guru
·
merancang pengajaran dengan mengambil kira perbezaan
individu pelajar
·
mempelbagaikan strategi dan aktiviti dalam proses pengajaran
dan pembelajaran supaya menarik minat murid
·
mengaplikasi kemahiran kaunseling dalam proses perbincangan
dengan murid yang bermasalah
·
memupuk nilai-nilai murni
Peranan Rakan Sebaya
·
menjadi role model
·
memberi motivasi
·
medengar dan memberi sokongan
Peranan Diri Sendiri
·
mengubah sikap negatif
·
yakin bahawa mereka mampu melakukan perubahan
·
dekatkan diri dengan Tuhan
Peranan Polis
·
penguatkuasaan undang-undang
No comments:
Post a Comment