Friday, 13 March 2015

TAJUK 4: TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN GURU


4.3 STRES
4.3.1 Konsep Stres

Stres adalah satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada masa kini. Dari sudut bahasa stres membawa maksud tekanan di mana tekanan ini adalah fitrah kehidupan (Harunsani,2004 dalam Mohd Taib dan Hamdan 2006). Menurut Mohd Salleh (1994) stres adalah reaksi fizikal dan mental seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan ketidakselesaan dalam hidup. Ketidakselesaan ini boleh memberi dua kesan berbeza kepada individu iaitu sama ada kesan positif atau negatif. Stres pada kadar rendah adalah positif kerana ia boleh menggerakkan individu untuk mencapai apa yang ingin dicapai. Sebaliknya stres pada kadar tinggi boleh mendatangkan kemudaratan seperti kemerosotan kesihatan atau perhubungan.


Di Malaysia masalah stres dalam kalangan guru memang hebat dibincangkan dan banyak kajian yang telah dijalankan untuk mengkaji aspek ini. Mengikut Kyriacou (2000) stres guru ialah pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Bebanan tugas guru dan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan adalah antara faktor yang menyumbang kepada masalah stres dalam kalangan guru.


4.3.2 Jenis-Jenis Stres
Mengikut Cockburn (1996) terdapat lima jenis stres yang dialami oleh guru iaitu;


·                     Stres ‘here and now’

Stres ‘here and now’ didefinisikan sebagai stres yang wujud pada sesuatu masa atau ketika. Contohnya; ketika peperiksaan, pertengkaran atau ketika berlaku kemalangan.


·                     Stres ‘anticipation’

Stres ‘anticipation’ merujuk kepada situasi di mana guru bertindak balas terhadap sesuatu perkara yang dijangkakan. Contohnya; apabila guru baharu dilantik untuk menjadi guru kelas dan terpaksa berjumpa dengan ibubapa dalam perjumpaan PIBG. Sebagai guru baharu yang tiada berpengalaman, situasi ini boleh menimbulkan perasaan stres ‘anticipation’.


·                     Stres imaginatif

Stres imaginatif wujud apabila individu akan berimaginasi tentang sesuatu yang menakutkan atau negatif. Sebagai contoh; anda tinggal bersendirian di rumah dan anda mendengar pelbagai bunyi di luar. Secara tidak langsung anda akan mula mengandaikan bahawa terdapat pencuri di luar yang sedang mencuba untuk menceroboh rumah anda.


·                     Stres Reaktif

Stres reaktif ialah stres yang wujud akibat daripada peristiwa atau pengalaman lampau. Ia berlaku secara semulajadi. Contohnya ialah apabila seseorang individu baharu sahaja kehilangan orang yang disayangi. Proses mengimbas semula pengalaman lampau ini akan menyebabkan stres reaktif berlaku.


·                     Stres Negatif

Stres negatif ialah sesuatu yang memuncak dalam tempoh masa sama ada hari, minggu, bulan atau tahun. Ia boleh disebabkan satu punca sahaja seperti masalah kewangan atau rumah tangga.

4.3.3 Punca-Punca Stres
Menurut Faizah dan Mazlan (2010), Punca stres kehidupan merangkumi lapan faktor iaitu :
Gaya Hidup


·                     Disiplin pemakan yang tidak sihat.
·                     Gemar berbelanja menggunakan kad kredit walaupun ada kalanya barangan yang dibeli tidak diperlukan.
·                     Tidak dapat membezakan antara waktu bekerja dengan waktu berehat bersama –sama keluarga.
·                     Kurang melakukan senaman bagi menjaga kesihatan diri.
·                     Tidak dapat menyusun ritma tidur yang sistematik.

Kewangan


·                     Mempunyai masalah disiplin kewangan yang teruk.
·                     Sifat individu yang tidak pernah merancang sebelum berbelanja.
·                     Gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan peribadi dan keluarga.
·                     Perancangan kewangan yang buruk.
·                     Kerap terganggu dengan masalah kewangan.

Personaliti.


·                     Sukar untuk melahirkan perasaan gembira.
·                     Tabiat terlalu banyak bercakap daripada mendengar.
·                     Kerap tergesa-gesa untuk menyiapkan sesuatu kerja.
·                     Kerap mengambil keputusan tanpa berfikir secara rasional.
·                     Mudah marah walaupun terhadap perkara-perkara yang remeh dan kecil.

Spiritual.


·                     Tidak redha terhadap apa yang telah berlaku ke atas diri sendiri.
·                     Mudah menyalahkan orang lain.
·                     Sukar untuk berasa tenang apabila menghadapi sesuatu masalah atau dugaan hidup.
·                     Sukar menjalinkan hubungan persahabatan.
·                     Kurang bersabar dalam menghadapi sesuatu keadaan terutamanya yang melibatkan perkara-perkara yang sukar.

Peristiwa Hidup


·                     Berasa diri tidak berguna. Keadaan ini berlaku akibat sikap yang terlalu melihat kelemahan diri dan aspek negatif berbanding aspek yang positif.
·                     Seseorang yang mempunyai kenangan pahit yang sentiasa membelenggu kehidupan.
·                     Berasa Tuhan tidak adil terhadap dirinya.
·                     Kerap berasa kesunyian. Keadaan ini telah membuatkan individu itu merasa bosan dan stres.
·                     Masalah sejarah perpisahan yang telah membuatkan diri merana dan sentiasa mengalami stres.

Persekitaran


·                     Berasa lemas dan sesak kerana terlalu ramai anggota keluarga tinggal bersama-sama di dalam sebuah rumah.
·                     Mempunyai masalah dengan jiran.
·                     Individu yang berasa bilik tidur tidak selesa dan tidak sesuai untuk dijadikan tempat berehat.
·                     Mempunyai masalah dengan suasana kehidupan keluarga yang bising dan menyebabkan fikiran seseorang kusut.
·                     Berasa tempat tinggal sekarang terlalu sesak dan tidak selesa.

Perhubungan


·                     Mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja.
·                     Berasa rakan-rakan sukar untuk mendengar luahan perasaan yang hendak dikongsi.
·                     Mempunyai masalah sukar berasa gembira apabila bersama rakan.
·                     Berasa orang yang rapat dengan anda sukar untuk memahami diri anda.
·                     Mempunyai sikap tidak selesa apabila bergaul dengan masyarakat setempat.

Pekerjaan


·                     Mempunyai sikap suka melambat-lambatkan kerja.
·                     Mempunyai masalah dengan kawalan pelajar semasa mengajar.
·                     Berasa jadual waktu mengajar yang diberikan kepadanya adalah membebankan.
·                     Berasa kurang dihargai oleh pihak sekolah.
·                     Seseorang yang beranggapan bahawa dasar pelajaran membebankan dan terlalu banyak perubahan dilakukan.

4.3.4 Tanda-Tanda Stres

Psikologikal
Ciri-ciri Psikologikal


·                     Mudah berasa bimbang, tertekan, keliru dan mudah meradang.
·                     Timbulnya perasaan kecewa, marah dan kebencian.
·                     Emosi terlalu sensitif dan sangat pasif.
·                     Memendam perasaan, menarik diri dan kemurungan.
·                     Kurangnya komunikasi yang berkesan.
·                     Timbulnya perasaan tidak mahu bergaul dan suka mengasingkan diri.
·                     Rasa bosan dan tiada kepuasan kerja.
·                     Keletihan pada mental, penurunan fungsi intelektual dan kehilangan tumpuan.
·                     Kehilangan sifat spontaneity dan kreativiti.
·                     Menurunya rasa harga diri.


Tingkah laku
Ciri-ciri Tanda Tingkah Laku


·                     Suka melengah-lengahkan kerja, mengelak bekerja dan suka ponteng kerja.
·                     Menurunnya prestasi dan produktiviti kerja.
·                     Meningkatnya penggunaan alkohol, penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang.
·                     Kerap menunjukkan tingkah laku sabotaj dalam pekerjaan.
·                     Tabiat makan yang melampau dan peningkatan berat badan.
·                     Tingkah laku makan yang tidak normal sebagai bentuk penarikan diri dan kehilangan berat badan dengan tiba-tiba dan kemungkinan hal berkombinasi dengan tanda-tanda kemurungan.
·                     Meningkatnya tingkah laku berisiko tinggi, termasuk cuai dalam memandu dan berjudi.
·                     Meningkatnya tingkah laku agresif, vandalisme dan jenayah.
·                     Menurunya kualiti hubungan dengan keluarga dan rakan.
·                     Membunuh diri atau cuba membunuh diri.


Tanda Fizikal
Ciri-ciri Tanda Fizikal


·                     Meningkatnya denyutan jantung, tekanan darah dan kecenderungan mengalami penyakit kardiovaskular.
·                     Meningkatnya rembesan hormon stres (contohnya, adrenaline dan nonadrenaline)
·                     Mengalami masalah gangguan gastrointestinal termasuklah irritable bowel syndrome, radang dinding usus besar dan ulser.
·                     Meningkatnya kecederaan dan kemalangan pada tubuh badan
·                     Keletihan fizikal dan berkemungkinan mengalami sindrom keletihan yang kronik.
·                     Gangguan pernafasan, termasuklah gangguan keseluruhan bahagiannya.
·                     Gangguan pada kulit.
·                     Sakit kepala, sakit pada bahagian bawah punggung dan ketegangan otot.
·                     Rosaknya fungsi imunisasi badan, termasuklah mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi kanser.


Rumusan
Stres boleh menjejaskan banyak aspek kehidupan individu. Bagi mengelakkan stres individu itu perlu mengenal pasti situasi yang menimbulkan stres dan bagaimana individu itu boleh mengendalikannya. Lebih banyak seseorang itu memahami tentang dirinya, maka pengendaliannya akan lebih baik.

4.4 BURNOUT DALAM KALANGAN GURU
4.4.1 Konsep Burnout

Burnout diperkenalkan oleh Freudenberger (Wood, 2000). Burnout didefinisikan sebagai satu keadaan yang disebabkan oleh depersonalisasi, keletihan dan suatu pencapaian yang semakin menurun. Keadaan ini menunjukkan keletihan dari segi emosi, mental, fizikal yang disebabkan stres yang melampau dan berpanjangan. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang individu menjadi hilang minat dan motivasi untuk terus melaksanakan kewajipan serta tugas dalam kehidupan seharian.

4.4.2 Implikasi Burnout
Burnout akan menyebabkan individu jadi :


·                     pemarah
·                     bersifat sinis
·                     lemah semangat
·                     berasa tidak berguna
·                     berasa tidak berupaya
·                     kurang daya produktivitinya


Kesan terakhir yang lebih teruk adalah individu tidak boleh berfungsi dengan baik lagi.

Tanda fizikal


·                     rasa letih sepanjang masa, imuniti rendah, perubahan masa tidur dan cara pemakanan, sakit kepala, sakit belakang dan otot.


Tanda tingkah laku


·                     menarik diri daripada tanggungjawab, mengasingkan diri daripada orang lain, menangguhkan tugas dan mengambil masa yang lama untuk menyempurnakannya, menggunakan bahan ubat atau alkohol untuk menangani masalah, memindahkan kekecewaan kepada orang lain, mengabaikan tugas, datang kerjalewat tetapi balik awal.


Tanda emosi


·                     berasa diri gagal, ragu-ragu pada diri sendiri, kurang motivasi, tidak berupaya, kurang berpuas hati, mengasingkan diri, imej semakin negatif dan sinis.


4.4.3 Punca-Punca Burnout Guru
Selepas membaca bahagian ini anda akan tahu punca-punca yang menjadikan seseorang itu burnout.
Antara punca-puncanya:


·                     berasa tidak dihargai walaupun telah bekerja dengan penuh komitmen
·                     mengalami stres dalam tempoh yang panjang.
·                     Kehendak pelanggan melebihi keupayaan guru, contohnya tekanan memenuhi target peperiksaan sangat tinggi sedangkan jumlah guru kurang).
·                     kurangnya budaya mentor misalnya guru-guru baru biasanya memerlukan bimbingan daripada rakan yang lebih senior. Namun budaya membimbing kurang dilaksanakan akibat setiap guru dibebani oleh pelbagai tugasan perkeranian.
·                     tiada pengiktirafan dan ganjaran, ekspektasi tugas yang tidak jelas, suasana kerja yang tidak bersistematik.
·                     dari segi sosial kerja yang terlalu kuat tanpa rehat, tiada masa untuk bersosial, diberi tugas yang banyak tanpa bantuan, tidak cukup tidur dan kurangnya sokongan.
·                     personaliti guru sendiri juga menjadi penyebab kepada burnout.

                                                    

4.4.4 Perbezaan Di antara Stres Dan Burnout

   Jadual 4.1 Perbezaan di antara Stres dan Burnout

4.4.5 Cara-Cara Mengatasi Burnout
Peningkatan profesionalisme dalam pengurusan stres perlu dilaksanakan. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah:


·                     bengkel pengurusan masa
·                     bengkel pengurusan stress
·                     bengkel pengurusan kewangan
·                     latihan rekreasi dan pemakanan
·                     peningkatan tahap ketahanan diri
·                     membentuk budaya saling memahami
·                     membentuk suasana kerja yang kondusif
·                     meningkatkan kecerdasan emosi guru
·                     sambutan perayaan mengikut kaum yang terdapat di sekolah.


Rumusan
Dengan membaca modul ini sedikit sebanyak membantu anda lebih memahami konsep burnout, tanda-tandanya, punca-punca yang menyebabkan burnout, serta cara-cara mengatasinya. Guru yang berkesan adalah guru yang dapat menangani masalah sendiri dan dapat terus melangkah dengan melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang serta membahagiakan diri sendiri.

4.5 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN TEKANAN EMOSI
Berikut ialah langkah-langkah menangani stres :

Uruskan Masa Dengan Efektif


·                     Urusan atau rutin harian memerlukan jadual atau rancangan. Pastikan kita mempunyai masa untuk diri sendiri dan masa untuk melakukan aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan. Lakukan aktiviti yang paling penting terlebih dahulu.


Elakkan Mengambil Dadah atau Alkohol


·                     Dadah atau alkohol hanya sekadar menghilangkan simptom tekanan dan apabila berhenti mengambilnya, stres pasti akan kembali.


Rehat Seketika


·                     Ketika melakukan sesuatu kerja pastikan kita berhenti rehat seketika untuk meminimumkan tekanan. Lakukan regangan, berjalan atau buat panggilan kepada rakan. Apabila kembali untuk menyambung kerja, pastikan anda dapat lakukan kerja itu dengan lebih efektif.


Kurangkan Gangguan


·                     Ketika melakukan kerja yang penting, pastikan anda tidak diganggu. Contohnya matikan bunyi telefon, tutup pintu bilik atau pergi ke suatu tempat yang orang lain tidak dapat mencari anda.


Makan Makanan yang menyihatkan


·                     Elakkan mengambil makanan yang tinggi lemak, gula dan sodium. Sekiranya bercadang untuk keluar sepanjang hari, pastikan anda mengambil dan makan makanan yang menyihatkan. Jika tidak, ia akan menyebabkan tahap tenaga menjadi rendah.


Lakukan Meditasi


·                     Meditasi adalah senaman yang bagus dan menyihatkan. Ini termasuklah bernafas dalam-dalam yang dapat meningkatkan kerehatan pada otot-otot tubuh. Jangan lupa juga untuk mengimaginasikan suasana yang menenangkan fikiran.


Berfikiran Positif dan Belajar Mengawal Ketakutan


·                     Elakkan daripada menumpukan kepada perkara atau fikiran negatif. Sebaliknya fokus dan katakan kepada sesuatu yang positif mengenai diri sendiri setiap hari. Jangan buang masa dengan berasa bimbang mengenai sesuatu perkara yang tidak dapat diubah atau dicapai.


Dapatkan Nasihat


·                     Meminta pertolongan, nasihat dan pandangan tidak bermakna anda lemah. Terdapat banyak sumber yang dapat membantu anda menyelesaikan stres. Jadi ambil peluang untuk menemui atau mendengar nasihat oleh pakar motivasi atau kaunselor.


Belajar Katakan 'TIDAK'


·                     Jangan sesekali rasa bersalah untuk mengatakan tidak. Melakukan dan menambah projek atau kerja lain ketika sibuk akan menyebabkan anda bertambah tertekan. Berbincanglah dengan penyelia anda jika menghadapimasalah berkaitan kerja.


Dapatkan Tidur yang Cukup


·                     Tidurlah sekurang-kurangnya 6 - 8 jam sehari. Walau bagaimanapun seseorang akan mengalami masalah tidur apabila mereka terlalu stres memikirkan dan menyiapkan kerja yang bertimbun.


Lakukan Senaman


·                     Aktiviti fizikal adalah cara terbaik untuk menangani tekanan. Cara ini akan merembeskan endorphin dan memberikan kesegaran secara semulajadi. Teknik pengurusan tekanan paling mudah dan boleh dilakukan di mana-mana. Bernafas dengan cepat akan meningkatkan tindak balas tekanan. Bernafaslah dalam-dalam dan perlahan.

No comments:

Post a Comment